PANDUAN CERAI FASAKH SECARA ONLINE

PANDUAN CERAI FASAKH SECARA ONLINE

BAGAIMANAKAH CARA/PROSEDUR SEKIRANYA INGIN BERCERAI?

Cerai adalah perkara harus yang paling di benci oleh Allah, oleh itu jadikan cerai sebagai langkah terakhir menyelesaikan masalah. 

Saya nasihatkan agar Puan solat istikharah mohon pertunjuk Allah untuk tabahkan hati untuk memohon perceraian, jika cerai adalah baik bagi Puan, keluarga dan baik di sisi Islam mohonlah kekuatan untuk Puan tabah mengusahakannya sebaliknya jika terus hidup bersama dengan suami adalah yang terbaik di sisi Allah maka mohonkan kekuatan untuk menjadi isteri solehah sehingga mampu memimpin suami agar menjadi suami soleh seterusnya hidup bahagia seterusnya.

Jika telah nekad ingin bercerai Puan boleh terus ke Mahkamah Syariah berhampiran (di mana Puan tinggal). Contohnya, kalau Puan tinggal di Putrajaya pergilah ke Mahkamah Syariah Putrajaya, jika di Shah Alam pergilah ke Mahkamah Rendah Shah Alam.

Bagi tujuan pendaftaran kes, hanya Pemohon sama ada suami atau isteri perlu hadir ke Mahkamah memandangkan ia hanya untuk mendaftarkan kes.

Dapatkan borang mohon untuk bercerai dan isi. Bawa bersama surat nikah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan dll yang berkaitan jika nak pasti apa perkara perlu sila berhubung dahulu (telefon) mahkamah berkenaan.

Selepas hantar borang Tuan/Puan akan diberi tarikh panggilan ke mahkamah (sebutan/bicara) dalam tempoh 21 hari. Tuan/Puan juga boleh dapatkan khidmat rundingan dari Pegawai Sulh. apabila di perlukan (kalau perlu kena mohon hadir majlis sulh). Biasanya terus sebutan/bicara. Kalau suami setuju cerai biasanya kes ringkas dan diakhiri lafaz cerai, namun jika tidak mungkin puan perlu pinda kes kepada mohon cerai taklik atau fasakh mengikut alasan yang berkaitan. Alasan taklik ikut lafaz taklik di belakang surat nikah, alasan fasakh lihat seksyen 52 Akta Keluarga .

Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

[Pin. Akta A902:s.16]

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

[Pin. Akta A828:s.5]

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

(1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.

[Mas. Akta A902:s.16]

(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.

(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Semoga jawapan saya dapat menjelaskan dan membantu puan membuat keputusan yang tepat.

SUMBER - http://www.jksm.gov.my/index.php/soalanlazim/106-penceraian/566-bagaimanakah-cara-prosedur-sekiranya-ingin-bercerai

0 comment... add one now

Jika Terdapat sebarang persoalan, Sila komen :)