Sambutan Maulidur Rasul 2015 1437H ok? Alfaqir akan kongsikan sedikit ilmu mengenai kecintaan kita kepada nabiyuna Rasulullah SAW bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1437H 2015, Semoga perkongsian ini dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepada Sayiidul Ambia Baginda SAW.
Sambutan Maulidur Rasul 1437H 2015 ( Pembuktian Cinta Kepada Rasulullah SAW)
Pembuktian Cinta, Manusia yang mengejar cinta kemanusiaan, mereka bersungguh-sungguh menzahirkan cinta mereka, siang malam asyik teringat sang kekasih yang dicintai, hatta sampai peringkat sedia menjual jiwa dan raga kononnya demi membuktian kecintaan sesama mereka, syara’ atau tidak, kita boleh lihat sendiri contoh yang ada di luar sana. Nampak bahagia, namun hakikatnya mereka bercinta atas asas yang rapuh. Malahan ramai juga yang kecewa akhirnya.
Begitu sekali manusia berusaha membuktikan cinta mereka. Justeru bagaimana pula dengan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.? Apakah sehebat itu juga atau bagaimana? Apakah mencintai Rasulullah ada persaingan dengan cinta-cinta yang lain? Mencintai Rasulullah SAW merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintai Baginda, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik. Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta kita terhadap Rasulullah SAW. Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah ramai manusia membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta.
Sabda Rasulullah SAW:Cinta kepada sang kekasih Allah SWT ini besar ertinya kepada kita. Suatu ketika, seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah SAW seraya menanyakan tentang hari kiamat. Rasulullah bertanya: “Apa yang telah engkau persiapkan untuk hari itu?” Orang Badwi itu berkata: “Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Mendengar itu, Rasulullah SAW menjawab, “Anta ma‘a man ahbabta. Engkau bersama orang yang kau cintai.” (HR Bukhari)
“Seandainya manusia diberikan (diterima) semua pengakuannya, tentulah ramai orang yang menuntut darah dan harta orang lain.” (HR: Al-Bukhari)
Dan Rasulullah SAW ada bersabda lagi:
“Seseorang di antara kamu belum beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada kedua orang tua, anaknya dan seluruh manusia.” HR. Bukhari dan Muslim.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah SAW) niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (‘Ali Imran:31)
Penulis yakin kita semua pernah membaca hadith dan ayat Al Quran di atas. Cabaran utama adalah sejauhmana kita membumikan cinta itu di dalam kehidupan kita. Percintaan yang benar dan sejati akan menterjemahkan cinta itu dalam kehidupan. Kecintaan yang tulus dan mulus akan menerbitkan umat yang kuat dan dinamik. Bukankah begitu gambaran kualiti para sahabat RA yang merupakan model terbaik umat yang paling mencintai nabi junjungan besar. Iman mereka mantap, sahsiah, peribadi dan akhlak mereka ampuh, kehidupan mereka yang sentiasa berusaha membuktikan kecintaan mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. dalam setiap masa dan fasa dakwah Islam. Siapa yang boleh menidakkan teladan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW? Namun mengapa hari ini umat begitu longlai dan lemah? Apakah kerana kita belum menzahirkan lagi cinta kita kepada Rasulullah SAW?
Rasulullah Mencintai Umatnya
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu.” (Al Ahzab:21)
Ketika denyut dan nafas akhir kehidupan Rasulullah SAW. semakin menghampiri Baginda, saat itu Baginda ditemani puteri tercintanya, Fatimah, satu kata terucap dari bibir Baginda, “Ummatii…ummatii…” Sebuah ungkapan kerinduan dan kecintaan yang teramat indah kepada umatnya.
Sejak saat itu, dunia kehilangan manusia terbaik sepanjang sejarah peradaban. Kelam pun menyelimuti seluruh langit. Baginda mengucapkan selamat tinggal sekaligus selamat datang pada generasi yang akan mengikuti millah-nya. Dalam doa-doa di keheningan malam, Rasulullah SAW selalu bermunajat kepada Allah SWT. tentang kerisauan terhadap keadaan umatnya. Dengan rasa takut dan harap, Baginda sentiasa berdoa agar umatnya senantiasa berada di jalan yang diredhai Allah. Baginda tidak rela apabila melihat umatnya ada dalam genggaman syaitan. Namun pernahkah kita sedar dan peka akan perkara ini?
Rasulullah SAW dengan segenap cinta, pengharapan dan kerisauannya, telah memberikan isyarat kepada kita bahawa Baginda sentiasa berfikir akan masa depan umatnya. Lantas, bagaimana dengan kita? Apakah kita juga selalu memikirkan dan meneladani Rasulullah SAW dalam seharian kehidupan kita? Sudahkah kita merasakan pengaruh cinta Rasulullah SAW dalam jiwa kita? Pertanyaan itu akan segera terjawab ketika mengukur kualiti akhlak dan keperibadian kita, serta sejauh mana kita mengenal Rasulullah SAW.
Ketika umat Islam diperintahkan agar mencintai Nabi Muhammad SAW maka itu sama sekali bukan kerana Nabi Muhammad memerlukan cinta umatnya, cinta siapa lagi yang diperlukan padahal Baginda sudah menjadi kekasih Allah? Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk mencintai Baginda, kerana apabila kita mencintai Rasulullah dengan jujur maka insyaAllah sahsiah dan peribadi kita akan sesuai dengan perilaku, sahsiah dan peribadi Baginda.
Momentum Cinta
Cinta kepada Rasulullah SAW memiliki implikasi yang sangat luas, antaranya kata Al qadhi ‘Iyadh termasuk tanda mencintai Nabi adalah membela sunnahnya dan menegakkan syariatnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mewujudkannya ia akan mengerahkan jiwa dan harta kekayaannya.
Besar kesannya terhadap kehidupan seseorang tatkala dia benar-benar menzahirkan cintanya kepada Rasulullah SAW. Pertamanya, cinta kepada Rasulullah SAW adalah sebuah prinsip aqidah; keislaman seseorang juga ditegaskan dengan prinsip kecintaan ini. Kerapuhan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW adalah kerana kerapuhan aqidah dan keimanan kita kepada Baginda. Justeru persoalan cinta kepada Rasulullah SAW adalah persoalan aqidah. Ini bukan persoalan kecil atau pecisan. Namun mengapa hari ini umat mendahulukan kecintaan kepada yang lain melebihi kecintaan kepada Rasulullah SAW?
Keduanya, cinta kepada Rasulullah SAW akan memberi momentum yang kuat ke arah untuk mengikuti sunnah dan meneladani akhlak Baginda. Hari ini dunia kehilangan peribadi yang soleh sebagaimana yang pernah dijelmakan oleh para sahabat RA saat berguru di bawah madrasah Rasulullah SAW. Mereka menjadi umat contoh dan umat teladan. Hari ini umat seperti hilang arah. Hilang keperibadian sejati sebagai umat Muhammad. Hilang hamasah untuk mencontohi Baginda SAW dalam kehidupan. Formula untuk membangkitkan kekuatan umat adalah dengan segera kembali berguru di madrasah Baginda dengan meneladani Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam segenap kehidupan. Mencontohi, mengikuti Rasulullah SAW dan berjalan di atas manhaj Baginda SAW serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda SAW adalah tanda pertama cintakan Rasulullah SAW. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang mengikuti Rasulullah SAW secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah SAW.
Orang yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatan dunia.
Ketiga, kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menyatukan kembali umat Islam dan membina sikap kebersamaan. Pernah satu saat berlaku pertengkaran di antara para sahabat Ansar dan Muhajirin akibat momokan sang yahudi, namun hati mereka bertaut kembali hasil dari tarbiyah dan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW.
Hari ini ramai yang membicarakan soal perpaduan bangsa melayu, apakah perjuangannya atas asas kecintaan kepada Allah dan Rasulullah? Sekiranya bukan, makan kesatuan tidak akan terjelma, sebaliknya yang hadir adalah kepentingan masing-masing semata.
Akhirnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW akan membawa keberuntungan di akhirat kelak. Siapa yang tidak mahu selamat di akhirat? Justeru bersegeralah membumikan kecintaanmu kepada Rasulullah SAW.
“Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah SAW) niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (‘Ali Imran:31)
Semoga kita, para pemuda pemudi Islam tergolong dalam golongan umat Muhammad yang menzahirkan dan membumikan cintanya kepada Baginda SAW, amin.
Tema bagi Sambutan Maulidur Rasul 1437H 2015 sila klik pada pautan ini Tema Maulidur Rasul 1437H 2015
Jika Terdapat sebarang persoalan, Sila komen :)