Subramaniam bagaimanapun memberi jaminan hospital dan klinik kerajaan akan terus memberikan ubatan secara percuma.
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga ubat kesan daripada kejatuhan ringgit.
Menurutnya, kenaikan akan disaksikan dalam sektor swasta memandangkan kebanyakan ubat ubatan diimport dari luar Negara.
Subramaniam bagaimanapun memberi jaminan bahawa hospital dan klinik kerajaan akan terus memberikan ubatan secara percuma.
"Kemungkinan harga ubat akan naik kerana ada yang kita import dari luar malah ubatan yang dihasilkan di Malaysia turut menggunakan bahan mentah dari luar negara. Namun keadaan itu hanya sementara waktu sahaja, (apabila) nilai ringgit pulih, harga akan jadi seperti biasa.
"Kerajaan akan terus memberikan ubat secara percuma, tetapi bagi hospital dan klinik swasta harga akan berubah,” kata Subramaniam yang ditemui selepas merasmikan penutupan Konvensyen Kebangsaan Kelab Doktor Muda kali ke-enam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada Khamis.
Pada masa yang sama, Subramaniam menasihatkan pihak berkenaan agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ubat secara sewenang-wenangnya.
“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dan tidak terlampau membebankan pesakit dalam keadaan begini,” tegasnya.
Dalam pada itu, hospital swasta mengakui kejatuhan nilai ringgit memaksa perkhidmatan perubatan mengurangkan margin keuntungan mereka sehingga 30 peratus.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, harga ubat-ubatan terpaksa dikekalkan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung pelanggan.
Antara yang merasa kesan akibat nilai ringgit adalah Pusat Perubatan Pakar Putra (PSH).
Peningkatan harga ubat dijangka lebih dirasai penghujung tahun ini.
Pada 5 petang Rabu, mata wang ringgit ditutup rendah pada RM4.04 berbanding dolar AS daripada RM3.96 pada Selasa.
Jika Terdapat sebarang persoalan, Sila komen :)